Rayuan 6 lelaki bunuh Kevin Morais ditangguh 4 Disember - Utusan Malaysia

Rayuan 6 lelaki bunuh Kevin Morais ditangguh 4 Disember

ANTHONY KEVIN MORAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan sehingga 4 Disember ini bagi mendengar rayuan enam lelaki terhadap hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram, lapan tahun lalu.

Mereka ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 60; bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravichandran, 52; serta empat penganggur, R. Dinishwaran, 31, A. K. Thinesh Kumar, 30, M. Vishwanath, 33, dan S. Nimalan, 30.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar hari ini dan menetapkan prosiding berlangsung selama tiga hari masing-masing pada 4, 7 dan 14 Disember.

“Rayuan ini ditangguhkan kepada tarikh-tarikh tersebut dan ini adalah penangguhan terakhir,” kata Hakim Hadhariah.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan peguam M. Manoharan agar pihaknya diberi penangguhan singkat.

Terdahulu, Manoharan yang mewakili Dinishwaran memaklumkan beliau baru dilantik oleh mahkamah pada 31 Oktober lalu untuk mewakili perayu dalam prosiding itu.

Peguam tersebut memberitahu, beliau memerlukan masa untuk meneliti rekod rayuan yang mengandungi jilid yang banyak.

Sementara itu, penangguhan tersebut tidak dibantah oleh pihak-pihak lain yang terlibat dalam rayuan berkenaan.

Peguam-peguam lain terdiri daripada Datuk N. Sivananthan mewakili Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, Afifuddin Ahmad Hafifi bagi pihak Vishwanath, Amer Hamzah Arshad mewakili Nimalan dan Kitson Foong mewakili Ravi Chandran.

Pihak pendakwaan pula diwakili oleh Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar bersama-sama Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Fuad Abdul Aziz.

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabit dan menghukum mereka dengan hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais, lapan tahun lalu.

Kesemuanya dituduh membunuh timbalan pendakwa raya itu ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hakim Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpuas hati dengan bukti penemuan sarung tangan yang mengandungi kesan darah milik Kevin Morais dalam kereta Mitsubishi Triton (milik tertuduh) yang digunakan untuk melanggar kenderaan yang dipandu mendiang.

“Ia termasuk penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) mendiang pada baju-T hitam milik salah seorang tertuduh,” katanya.

Kevin Morais yang dilaporkan hilang pada 4 September 2015, sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pada 18 November 2016, hakim berkenaan meninjau sebuah paya di USJ 1, Persiaran Subang Mewah Subang Jaya iaitu tempat tong dram berisi mayat mangsa ditemukan.

Dua hari sebelum itu (16 November), Hakim Azman bersama pasukan pendakwaan dan pembelaan serta semua tertuduh meninjau tiga lokasi di Hutan Melintang, Perak yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.

Tiga lokasi itu ialah Balai Polis Hutan Melintang yang menyimpan rangka kereta terbakar milik mangsa, lokasi kereta ditemukan di ladang sawit Sungai Samak dan lokasi mesin pencanai, jam tangan, beg, duit serta cincin milik mangsa yang ditemukan di sebuah sungai di Kuala Selangor, Selangor.

Pada 17 April 2018, mahkamah turut meninjau kediaman mangsa di Kondominium Menara Duta, Jalan Dutamas Raya, di sini, tempat beliau dilaporkan diculik pada 4 September 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN