Penjaga stor mengaku rakam isteri jiran sedang mandi

Penjaga stor mengaku rakam isteri jiran sedang mandi

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merakam isteri jirannya sedang mandi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbuatan jijik seorang lelaki yang merakam isteri jirannya sedang mandi membawa padah, apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fakrul Najmi Rohaizan, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penjaga stor didapati telah dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun dengan merakamkan mangsa sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.50 malam di Padang Temu dalam daerah Melaka Tengah pada 10 November 2023.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan polis dibuat mangsa, dia menyedari dirinya dirakam selepas terlihat tangan lelaki memegang telefon bimbit di celah lubang angin tandas dan kemudian bertindak merampas gajet tersebut.

Mangsa kemudian mendapatkan suaminya dan selepas itu tertuduh yang juga anak jirannya muncul untuk meminta maaf.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai penjaga stor dan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah menjatuhkan lima bulan penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada 14 November 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN