Peniaga pasar malam mengaku salah miliki 41 jenis senjata tiruan

Peniaga pasar malam mengaku salah miliki 41 jenis senjata tiruan

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memiliki 41 jenis senjata tiruan pelbagai model. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 41 jenis senjata tiruan pelbagai model, Ogos lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Hamdihafizi Ab. Karim, 33, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis senjata tiruan dan tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah premis bernombor, Jebat Street Klebang dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan barang kes dilupuskan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda yang rendah dengan alasan tidak membawa wang tunai yang banyak, selain hanya berniaga di pasar malam dengan menjual barangan berbentuk hobi.

Mahkamah menjatuhkan denda RM1,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar, manakala barang kes dilupuskan setelah tamat rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN