Penganggur dipenjara lima bulan, mengaku curi jongkong emas

Penganggur dipenjara lima bulan, mengaku curi jongkong emas

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri jongkong emas dan wang tunai berjumlah RM27,820. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri jongkong emas dan wang tunai berjumlah RM27,820.

Majistret Khairunnisak Hasni membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Goh Min Xiu, 25, sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat curang telah mencuri satu jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 bernilai RM25,393.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di Kedai Emas Lee Onn, Jalan Kee Ann dalam daerah Melaka Tengah pada 30 Oktober 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua dan kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga didenda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri wang tunai berjumlah kira-kira RM2,427 milik majikannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Oktober 2023.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibu yang sudah tua, selain telah sedar akan kesalahan dilakukan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 7 November 2023 dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh turut dikenakan tambahan dua bulan penjara yang berjalan selepas hukuman terdahulu selesai serta denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN