Penentuan rayuan Isa Samad 28 November - Utusan Malaysia

Penentuan rayuan Isa Samad 28 November

MOHD. Isa Abdul Samad di Mahkamah Rayuan berhubung rayuan kes rasuah pembelian hotel di Sarawak. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 28 November ini.

Tarikh itu diperolehi hasil semakan terhadap laman sesawang mahkamah hari ini. Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi pihak media.

Notis berhubung keputusan itu yang dikeluarkan pada 17 Oktober lalu telah diserahkan kepada pihak peguam bela daripada Tetuan Salehuddin Saidin & Assoc dan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Surat makluman itu turut dihantar melalui perkhidmatan Pos Laju kepada perayu dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid selaku penjamin yang menghendaki mereka hadir pada tarikh berkenaan.

Menurut notis berkenaan, pihak perayu perlu memfailkan hujahan bertulis tambahan pada atau sebelum 25 Oktober manakala hujahan balas difailkan pada atau sebelum 1 November lalu.

“Pihak-pihak telah memfailkan hujahan tambahan pada tarikh-tarikh yang diarahkan oleh mahkamah lanjutan daripada isu yang dibangkitkan oleh peguam perayu dalam rayuan itu,” kata Afzainizam.

Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada 16 Oktober lalu.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd. Isa berhujah, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya atas kesalahan rasuah apabila mencapai dapatan yang bercanggah di antara satu sama lain.

Peguam bela menghujahkan, keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd. Isa berhubung penyerahan wang, tidak menyokong elemen pertuduhan suapan yang dihadapi perayu.

Semasa perbicaraan, Muhammad Zahid memberitahu mahkamah bahawa beliau menyerahkan wang berjumlah RM3 juta yang diisi dalam beg kertas dan beg hitam kepada Mohd. Isa di pejabat tingkat 49, Menara Felda sebanyak sembilan kali.

Hujah Salehuddin, hakim bicara tidak sepatutnya bergantung kepada keterangan Muhammad Zahid sebaliknya meneliti keterangannya dengan lebih mendalam kerana beliau merupakan saksi berkepentingan.

Menurut peguam perayu, keterangan SP21 bahawa beliau langsung tidak mencatat dalam buku nota mahupun telefon bimbit berhubung sembilan kali penyerahan wang itu, sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Peguam bela turut berhujah, tindakan perayu ‘mengirim salam’ yang didakwa sebagai isyarat memohon suapan atau wang pendahuluan, sebagai tidak munasabah.

Dalam keterangan pembelaannya, Mohd. Isa mengaku tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya atau mengenalinya secara peribadi.

“Perayu secara konsisten menyatakan beliau tidak tahu menahu berkenaan wang tersebut mahupun membincangkan atau bertanya kepada Muhammad Zahid berhubung status pembelian hotel itu,” hujah peguam berkenaan.

Salehuddin turut menghujahkan agar mahkamah menimbang keterangan pembelaan Mohd. Isa bahawa beliau tidak pernah mengarahkan SP21 meminta Ikhwan yang juga SP16 memberi ganjaran kepadanya kerana membantu meluluskan pembelian hotel itu.

Sehubungan itu, peguam bela menghujahkan tidak selamat untuk mengekalkan sabitan anak guamnya berdasarkan dapatan hakim bicara yang bercanggah di antara satu sama lain.

Sementara itu, Afzainizam memohon mahkamah menimbang keterangan pendakwaan bahawa Mohd. Isa terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan pembelian hotel berkenaan manakala wang RM3 juta itu adalah sebagai upah meluluskan pembelian itu.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Mohd. Isa menganggap cadangan pembelian hotel bernilai RM160 juta itu dipersetujui oleh Felda Investment Corporations Sdn. Bhd. (FICSB) apabila tiada bantahan daripada ahli lembaga pengarahnya.

Mohd. Isa, 74, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021 yang mensabitkannya atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Kuching, oleh FICSB.

Mohd. Isa didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan Mohd. Isa perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN