Pendakwaan mohon Syed Saddiq dipenjara setahun, denda maksimum RM5 juta - Utusan Malaysia

Pendakwaan mohon Syed Saddiq dipenjara setahun, denda maksimum RM5 juta

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengetahui keputusan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi agar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikenakan hukuman penjara di antara setahun dan empat tahun serta denda maksimum RM5 juta bagi pertuduhan yang dihadapinya.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menghadapi empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berhujah agar mahkamah memberi pemberatan hukuman terhadap pemimpin politik itu walaupun beliau masih muda.

“Tidak kira umur 50 atau 30 tahun, apabila diberi amanah, dia mengkhianati amanah itu. Mahkamah perlu beri hukuman setimpal supaya ahli politik lain yang ingin melakukannya berfikir dua, tiga kali,” hujah beliau ketika berhujah berkenaan hukuman.

Wan Shaharuddin berkata, mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman sebatan terhadap beliau.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq berhujah agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara atau denda minimum sahaja.

Beliau memohon mahkamah mengambil kira sumbangan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu di persada dunia sebagai menteri (bekas) termuda di Asia.

Hujah pembelaan, antara sumbangan Syed Saddiq adalah mengetuai pindaan Perlembagaan bersejarah iaitu undi 18 yang membuka jalan kepada tiga juta pengundi membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Hujah Haijan, beliau turut melonjakkan nama Malaysia dalam bidang e-sukan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menangguhkan sidang untuk memutuskan hukuman terhadap Syed Saddiq.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan Syed Saddiq bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan – masing-masing satu pertuduhan bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN