Pembantu tadbir didenda RM20,000 guna dokumen palsu tipu Kementerian Pertahanan - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir didenda RM20,000 guna dokumen palsu tipu Kementerian Pertahanan

NORSHUHADA Ismail hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan menggunakan dokumen palsu. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir Kementerian Pertahanan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menggunakan dokumen palsu dengan niat memperdaya kementerian itu.

Norshuhada Ismail, 35, membayar denda itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa bersubahat dengan seorang  pengurus sebuah syarikat sebagai ejen kepada Kementerian Pertahanan, menggunakan suatu dokumen sebagai tulen.

Dokumen itu ialah Kertas Kerja bagi Permohonan Perkhidmatan Sajian bagi Kursus Bijak Urus Wang pada 28 Februari 2022 hingga 03 Mac 2022 dan Bengkel Memperkasakan Modal Insan pada 14 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 berjumlah RM15,776. 

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pusat Tanggungjawab (PTJ) Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan di sini di antara Februari dan Mac 2022. 

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqah Ab. Razak memohon hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh. 

“Kes ini membabitkan penjawat awam selaku pembantu tadbir kewangan menguruskan perolehan,  ini profesion mulia yang tidak seharusnya dicemari unsur jenayah. 

“Penggunaan dokumen palsu adalah sikap tamak haloba tertuduh dan kes ini membabitkan kepentingan awam diutamakan melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Norshuhada yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman denda dan tidak dipenjarakan dengan alasan menanggung keluarga dan tiga anak masih bersekolah. 

“Saya insaf dan menyesal serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama dan mohon hukuman denda antara RM20,000 hingga RM25,000,” katanya. 

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Rozina menasihatkan supaya tertuduh insaf dan menjatuhkan denda RM20,000 atau penjara 30 hari jika gagal membayarnya.

“Mahkamah bagi peluang terakhir, kamu sepatutnya menjadi teladan kepada anak-anak kamu,” kata hakim berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN