Lokman Noor Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai Covid-19 - Utusan Malaysia

Lokman Noor Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai Covid-19

LOKMAN Noor Adam hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes menyebar berita palsu mengenai virus Covid-19. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan menyebar berita palsu mengenai virus Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim N. Priscilla Hemamalini memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman, 50, selaku orang kena saman (OKS) didakwa atas satu pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook menggunakan profil ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Ia menerusi rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19 pada jam 10.55 malam, 3 Mei 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang pada 9 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lokman diwakili peguam Logen Eskander manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh.

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Lokman Noor daripada satu lagi pertuduhan, menyebarkan berita palsu di laman sosial sama, berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, pada Mei 2021.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac lalu, seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu Lokman ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding, melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

“Saya bersyukur dan gembira ini kes kedua saya dilepas dan dibebaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN