Inspektor Sheila didakwa sekali lagi

Inspektor Sheila didakwa sekali lagi

Inspektor Sheila
SHEILA Sharon Steven Kumar atau Inspektor Sheila hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inspektor Sheila yang pernah tular di media sosial berkaitan beberapa insiden berlainan, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini – kali ini atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, lima bulan lalu.

Sheila Sharon Steven Kumar, 35, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 29 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, sebuah pusat beli belah di Brickfields di sini, pada pukul 5.26 petang, 16 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, M. Manoharan yang mewakili Sheila, merayu agar anak guamnya dilepaskan dengan bon tanpa ikat jamin dan akan membuat aku janji untuk hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding kes yang ditetapkan.

“Pertuduhan terhadap Sheila adalah tidak berasas dan sangat memalukan, sedangkan dia telah berkhidmat sebagai pegawai polis selama sembilan tahun malah dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya