Dipenjara 21 bulan, pemuda dakwa mencuri untuk bayar hutang

Dipenjara 21 bulan, pemuda dakwa mencuri untuk bayar hutang along

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara mencuri untuk membayar hutang along sebanyak RM5,000, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Shafiq Nasir Lim, 23, sejurus lapan pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan niat curang telah mencuri lima bekas menyimpan wang, tiga beg silang dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3,455.50.

Semua kesalahan itu dilakukan di gerai dan tepi jalan sekitar Duyong, Batu Berendam, Bukit Katil, Kota Laksamana, Telok Mas dan Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah antara 13 Jun 2022 hingga 4 November 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana tertuduh mempunyai perancangan rapi untuk mencuri.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu penjara minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya menanggung seorang anak dan isteri yang sarat mengandung, dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga lima bulan dan berjalan secara berasingan bagi kesemua pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN