Dipenjara 12 tahun, curi 28 kotak rokok

Dipenjara 12 tahun, curi 28 kotak rokok

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, awal bulan ini. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata, awal bulan ini.

Tertuduh, Abdul Qayyum Mokhtar, 30, dijatuhi hukuman itu atas tiga pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, tertuduh didapati bersalah melakukan dua rompakan bersenjata di dua kedai serbaneka berlainan menggunakan sepucuk pistol tiruan, satu stapler gun dan pisau dengan melarikan 18 kotak rokok serta wang tunai berjumlah RM1,067.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.15 pagi dan pukul 3.28 pagi di KK Mart Taman Bendahara dan KK Supermart & Superstore Taman Seri Cempaka, Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 2 dan 4 November 2023.

Sementara itu, bagi pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, tertuduh mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau dan melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM421.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi di KK Supermart & Superstore Taman Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 3 November 2023.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira senjata digunakan sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjaga dua anak yang masih kecil serta ibunya menghidap sakit jantung.

Mohd. Sabri dan Darmafikri menjatuhkan hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan secara berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN