Bekas pengurus besar PHB dan bekas penolong pengurus didenda RM30,000

Bekas pengurus besar PHB dan bekas penolong pengurus didenda RM30,000

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus besar di syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan seorang wanita masing-masing didenda RM30,000 kerana bersubahat dengan perunding syarikat itu melakukan penipuan berkaitan projek pembinaan pusat membeli belah Mayang Mall di Terengganu, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob mendenda Khairul Anuar Abd. Samad, 49, dan bekas pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis (M) Sdn. Bhd., Rosliza Lah, 47, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 30 hari jika gagal membayarnya.

Mahkamah mengenakan denda itu selepas kedua-duanya menukar pengakuan dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan pertama.

Rozina mengambil kira rundingan bagi pengakuan bersalah (plea bargaining) terhadap mereka di bawah Seksyen 171a Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dengan mengambil kira baki dua pertuduhan pilihan yang dikenakan.

Rozina turut memberi amaran dan peluang terakhir terhadap kedua-duanya agar tidak mengulangi kesalahan serupa.

“Tiada lagi peluang kedua kepada kamu berdua, mahkamah berharap kamu (Khairul Anuar) mendapat pengajaran dan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga kerana kamu penanggung tunggal,” ujar Rozina.

Menurut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari Che Omar, 44, yang ketika itu Perunding PHB untuk menipu majikan mereka dengan membantunya menandatangani kelulusan pembayaran tuntutan oleh Syarikat Gafis sebanyak RM708,000.

Perbuatannya mendorong PHB membuat pembayaran yang dituntut oleh Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 berkaitan kerja-kerja menyiapkan projek pusat membeli belah tujuh tingkat di Terengganu.

Tuntutan itu merupakan pembayaran melibatkan kerja-kerja dalam projek `Cadangan Membina Dan Menyiapkan Pembangunan Bercampur Fasa 1′ untuk pusat beli belah tujuh tingkat di Terengganu yang mana ia tidak akan dibayar jika PHB mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan.

Dia melakukan perbuatan itu di antara 1 Disember dan 9 Disember 2020 di PHB, Saujana Resort, Section U2, Shah Alam dekat sini.

Sementara itu, Rosliza didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari membantu lelaki itu menyediakan dokumen untuk menipu PHB dengan memperakukan bahawa Syarikat Gafis layak mendapat pembayaran tuntutan berkala untuk jumlah serupa walhal kerja-kerja pembinaan projek tidak dijalankan.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 November 2020 di Pejabat YHS Associates Sdn. Bhd. di Pandan Jaya di sini.

Kedua-duanya didakwa pada 15 November 2022 mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Mohd. Azhari turut didakwa pada 15 November 2022 atas tiga pertuduhan menipu PHB berhubung bayaran tuntutan melebihi RM1.2 juta bagi
kerja-kerja pembinaan Mayang Mall yang tidak pernah dilakukan.

Tuntutan RM1.2 juta itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan tuntutan bernilai hampir RM46 juta.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Fikah Sanusi memaklumkan kedua-dua anak guamnya mengemukakan permohonan rundingan bagi pengakuan bersalah (plea bargaining) agar mahkamah mengambil kira dua lagi pertuduhan yang dihadapi mereka.

Hujah peguam, kedua-dua tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah, menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak atas kesalahan yang dilakukan.

Menurut Mohd. Fikah, Khairul Anuar yang merupakan bapa kepada enam orang anak manakala Rosliza iaitu ibu beranak tiga dan kesemuanya masih bersekolah.

“Anak-anak guam saya tidak mendapat sebarang imbuhan atau pulangan daripada perbuatan itu,” ujar peguam bela.

Sementara itu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fadhly Mohd. Zamri dan Aznika Mohd. Anas berkata, pihak-pihak bersetuju agar denda RM30,000 dikenakan terhadap kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan pasport kedua-duanya yang ditahan sebagai syarat jaminan, dipulangkan kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN