KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, meskipun menghormati keputusan itu, beliau percaya mahkamah adalah penentu dan medan terbaik untuk membersihkan namanya.
“Keputusan (hari ini) bukan mudah untuk ditelan, namun saya menerima seadanya serta menghormati keputusan mahkamah.
“Hasil perbincangan dengan pihak peguam, kami ada kes yang baik untuk difailkan kepada Mahkamah Rayuan dan menjadi penentuan terbaik kepada diri saya,” katanya ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Terdahulu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta mengenakannya dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Syed Saddiq selanjutnya berkata, selaku salah seorang penggubal dasar negara (Ahli Parlimen), beliau tetap meletakkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara.
Syed Saddiq berkata, usaha mengubah negara bukan terletak pada personaliti atau individu tertentu, sebaliknya atas keperkasaan institusi dan parti.
Beliau berkata, bagi menjadi seorang pemimpin yang mahu memajukan negara, dia perlu menjadi ‘putih daripada putih’ dan mustahak untuk menonjolkannya kepada masyarakat.
“Saya perlu terima seadanya dan sebagai seorang nakhoda, saya perlu lawan bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang maju,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau bersedia menerima kritikan dan kecaman, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dihadapi dengan hati terbuka seperti mana menerima keputusan yang dikenakan ke atasnya.
“Saya ada mesyuarat tergempar bersama kepimpinan Muda pukul 4 petang ini dan sidang akhbar dilakukan selepas itu. Ia berhubung dengan keputusan politik saya dan perancangan masa depan Muda sendiri,” katanya. – UTUSAN