Yasin tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang - Pakar psikiatri - Utusan Malaysia

Yasin tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang – Pakar psikiatri

MUHAMMAD Yasin Sulaiman hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan kes berkaitan dadah. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pakar perunding psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami ‘bipolar disorder’ dan ‘hyperthyroidism’.

Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, Muhammad Yasin dalam keadaan tidak waras menyebabkannya tidak mengetahui perbuatan menanam pokok kanabis di kediamannya merupakan satu kesalahan.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak itu berkata, hasil pemerhatian selama dua bulan mendapati, tertuduh mula mengalami gejaja penyakit berulang kira-kira tiga bulan sebelum penanaman kanabis itu.

Menurut saksi pembelaan tersebut, pesakit turut mengalami gejala-gejala penyakit mania seperti terlalu gembira, banyak bercakap, bertenaga tinggi selain mempunyai buah fikiran yang mencurah-curah.

“Gejala-gejala itu semakin memuncak apabila tertuduh secara tiba-tiba mempunyai idea menanam pokok kanabis dan bercadang mengusahakannya secara perubatan. Idea itu tercetus dalam tempoh tiga bulan sebelum kesalahan didakwa dilakukan.

“Tertuduh merasakan dirinya hebat (grandiose) dan bertanggungjawab mencari rawatan mujarab untuk penyakit kronik termasuk penyakitnya sendiri.

“Bagaimanapun, tertuduh tidak langsung mempunyai pengetahuan mahupun kemahiran untuk memproses dan mengekstrak komponen kanabis untuk menghasilkan produk perubatan,” katanya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Ariff Azami Hussein.

Pakar psikiatri itu memberi keterangan pada prosiding bela diri Muhammad Yasin yang menghadapi tiga pertuduhan dadah.

Dalam keterangannya, Ian Llyod berkata, beliau menjalankan pemerhatian terhadap Muhammad Yasin bermula 10 Mei hingga 6 Julai lalu bagi mengetahui tahap mentalnya sama ada tertuduh layak dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan dadah.

Ujar pakar berkenaan, hasil pemerhatiannya mendapati, tertuduh mengalami gangguan mental yang serius yang memberi kesan kepada perubahan emosinya.

Beliau menjelaskan, kemuncak perubahan emosi itu menyebabkan pesakit mengalami tekanan yang melampau atau merasakan diri hebat sehingga memiliki kuasa yang tiada pada orang lain.

“Pesakit tidak memerlukan tidur yang banyak namun tetap bertenaga, suka bercakap lebih daripada biasa selain didatangi idea yang mencurah-curah.

“Muhammad Yasin juga boleh mengalami kesedihan melampau, hilang berat badan kerana tidak berselera selain mengalami masalah untuk tidur menyebabkan tertuduh kerap letih dan lesu.

“Bipolar disorder jika tidak dirawat boleh menjurus kepada tingkah laku untuk membunuh diri atau jika tidak dirawat sebaik mungkin boleh menyebabkan seseorang mengalami simptom psikotik dan halusinasi,” ujar pakar berkenaan.

Terdahulu, Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan penyanyi nasyid dan komposer itu membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Muhammad Yasin bagaimanapun memilih untuk berdiam diri daripada kandang tertuduh selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan tiga pilihan untuk membela diri.

Perbicaraan bersambung 17 Oktober ini dengan menyambung keterangan pakar berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN