Yasin makan 10 tablet ubat sehari untuk antipsikotik dan sakit jantung - Utusan Malaysia

Yasin makan 10 tablet ubat sehari untuk antipsikotik dan sakit jantung

MUHAMMAD Yasin Sulaiman hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan kes berkaitan dadah. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang menghadapi tiga pertuduhan dadah, memberitahu dia sedang mengambil 10 tablet ubat sehari untuk penyakit jantung, antipsikotik serta menstabilkan emosi dan kegelisahan.

Penyanyi nasyid itu berkata, dia bergantung kepada ubat yang banyak serta perlu menyambung rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak yang akan mengambil masa yang lama.

“Alhamdulillah hari ini macam ada ‘turning point’ (titik perubahan) untuk saya. Syukur semuanya berjalan dengan lancar.

”Proses mahkamah ini mengambil masa lebih daripada yang dijangka, saya kena habiskan kes ini dan moga ia selesai dengan baik. Harapnya saya akan dapat pulang segera ke Tanjung Rambutan untuk habiskan rawatan ini.

“Saya sebenarnya makan enam jenis ubat sekarang yang fungsinya pun saya tak tahu.  Saya ambil banyak kalau tidak saya tak boleh berdiri di hadapan anda semua,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan Muhammad Yasin membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima terhadap ketiga-tiga pertuduhan dadah tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga penyanyi itu didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN