Yasin diperintah bela diri terhadap tiga pertuduhan dadah - Utusan Malaysia

Yasin diperintah bela diri terhadap tiga pertuduhan dadah

MUHAMMAD Yasin Sulaiman tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan kes berkaitan dadah. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman membela diri terhadap tiga pertuduhan dadah.

Hakim Faiz Dziyauddin ketika menyampaikan keputusan itu berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap Muhammad Yasin.

Penyanyi dan komposer itu memilih untuk berdiam diri pada peringkat pembelaan.

Prosiding mahkamah diteruskan petang ini dengan mendengar keterangan saksi pembelaan pertama, Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak Dr. Ian Lloyd Anthony.

Ketika ditemui wakil media sejurus sebelum dibawa masuk oleh anggota polis ke bilik mahkamah,  Muhammad Yasin mengucapkan terima kasih dan meminta semua pihak mendoakannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mengetuai pasukan pembelaan mewakili Muhammad Yasin.

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil saksi ketujuh yang juga saksi terakhir, Profesor Dr. S. Sreeramanan yang merupakan pakar bioteknologi tumbuhan memberi keterangan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, seorang pegawai polis yang juga saksi pendakwaan ketiga memberitahu, tertuduh kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata penyanyi itu dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mahkamah turut mendengar keterangan seorang pegawai kimia bahawa ujian saringan yang dijalankan terhadap sampel air kencing milik penyanyi dan komposer itu mengandungi kanabis.

Rusli Ibrahim, 56, berkata, air kencing itu positif `cannabinoid’ manakala hasil ujian akhir mendapati sampel tersebut mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Pegawai Sains (Kimia Hayat) yang bertugas di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dekat sini, sampel air kencing itu tidak tercemar kerana disimpan pada suhu yang sepatutnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) makmal penyimpanan sampel.

Pada 6 Julai lalu, mahkamah diberitahu, Muhammad Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan artis itu berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.

Pihak pendakwaan memaklumkan, hasil pemeriksaan itu turut menyimpulkan penyanyi itu mengalami bipolar disorder, (kecelaruan efektif) dan Hyperthyroidism namun keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan Muhammad Yasin dirujuk ke hospital berkenaan selepas membenarkan permohonan peguamnya mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Muhammad Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN