Urusan seharian terganggu, Sharnaaz mahu keputusan representasi disegerakan - Utusan Malaysia

Urusan seharian terganggu, Sharnaaz mahu keputusan representasi disegerakan

sharnaaz ahmad
SHARNAAZ Ahmad Bazir Ahmad (dua dari kanan) diapit para peguamnya di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas keputusan representasinya ditangguhkan. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mahukan representasi bagi menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya diputuskan secepat mungkin kerana kelewatan itu jelas mengganggu urusan sehariannya.

Sambil mengaku kecewa kerana kes itu sudah berlarutan lebih setahun, pelakon tersebut benar-benar berharap representasi dipertimbangkan kerana beliau difahamkan pengadu kes telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

“Bila kes ini berpanjangan, maknanya sistem perbankan berkaitan projek kerja saya akan naik `warning’ dan menyebabkan perjalanan kerja dan perniagaan yang saya usahakan terganggu.

“Perkara ini bukan saya minta, tetapi ini sangat mengganggu sebenarnya, kes sangat kecil kerana pengadu difahamkan sudah menarik balik laporan namun saya kena ikut prosedur dan hormati mahkamah.

“Sudah setahun setengah, kalau boleh saya ingin percepatkan sebab saya pun ada urusan, kecewa tu datang sedikit tapi hendak buat macam mana, kita kena ikut undang-undang

“Kita bukan hendak tunjuk kita tak bersalah dan sebagainya, benda boleh selesai secara elok, lebih baik diselesaikan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah selepas prosiding itu.

Hari ini Mahkamah Majistret di sini sepatutnya dimaklumkan perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Sharnaaz untuk menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium, tahun lalu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan representasi yang dihantar 2 Mei lalu masih dalam pertimbangan pihak pendakwaan manakala kertas siasatan masih berada di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 17 November ini untuk status representasi.

Sementara itu, peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff menjelaskan, kes yang dihadapi oleh Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad merupakan kes saman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat pula menyatakan, Sharnaaz mempunyai pilihan sama ada untuk mengaku bersalah dan dikompaun atau meneruskan dengan perbicaraan.

“Kalau Sharnaaz memilih untuk menyelesaikan kes, pagi ini dia boleh mengaku dan bayar kompaun macam bayar kes saman.

“Tapi kalau Sharnaaz mengaku, dikhuatiri pihak ketiga atau orang awam akan menganggap dia mengaku atas pertuduhan yang dikenakan.

“Dalam kes ini kalau Sharnaaz mengaku, (maknanya) dia mengaku berlakunya pergelutan. Tapi kami difahamkan pengadu telah menarik balik laporan, sebab itu kita tidak ambil pilihan untuk mengaku bersalah,” kata beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam yang mewakilinya, Datuk Wan Azmir Wan Majid menjelaskan, kertas siasatan masih berada di AGC manakala representasi pada ketika ini masih belum diminitkan.

Kata peguam, pihak pembelaan telah memaklumkan kepada mahkamah bagi pertimbangan sama ada kes boleh ditarik balik atau dicadangkan untuk keputusan representasi pada tarikh lain.

“Untuk pengetahuan semua, representasi ini dikemukakan kerana satu laporan polis untuk menarik balik dakwaan terhadap Sharnaaz telah dibuat.

“Atas landasan ini, kami mohon agar kes diselesaikan secepat mungkin, tapi sebab fail tiada hari ini kes ditangguhkan pada 17 November ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan Sharnaaz direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun 2022.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN