Terlepas tali gantung, dua lelaki bebas tuduhan edar dadah

Terlepas tali gantung, dua lelaki bebas tuduhan edar dadah

CHUA Shiau Boon (kiri) dan Seow Book Boon (dua dari kanan) bersama peguam masing-masing selepas Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka melepas dan membebaskan mereka atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis racun dan mengedar dadah. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis racun dan mengedar dadah, lima tahun lalu.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Chua Shiau Boon, 48, dan Seow Book Boon, 48.

Katanya, wujud kelompangan dalam kes tersebut apabila pendakwaan gagal mengemukakan saksi penting iaitu Chan Eng Chin, 35.

“Pelbagai cara telah dilakukan untuk mengesan Eng Chin seperti menyiarkan di surat khabar dan semakan melalui imigresen, namun semuanya gagal. Asid deoksiribonukleik (DNA) pada puntung rokok dan cap jari yang ditemui pada dulang dalam rumah yang disewa oleh Eng Chin juga tidak boleh mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan milikan dadah berkenaan.

“Ini kerana terdapat cap jari pihak lain yang tidak dikenal pasti turut berada di rumah tersebut. Kedua-dua tertuduh juga tidak ditangkap di rumah itu sebaliknya di lokasi lain.

“Perbuatan mengedar dadah juga tidak dapat dibuktikan melalui keterangan pendakwaan. Oleh itu mahkamah berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shiau Boon dan Book Boon didakwa atas lapan pertuduhan pindaan iaitu tiga pertuduhan memiliki kafein seberat 134 kilogram (kg), 2.5kg chloroquine (dua pertuduhan) dan 1.248kg nitrazepam, 5.39 liter kloroform sementara satu pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 2.061kg.

Kesemua kesalahan dilakukan kira-kira pukul 9.45 pagi di sebuah rumah bernombor di Tranquerah Residence, Jalan Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Oktober 2018.

Shiau Boon dan Book Boon dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga dituduh di bawah Seksyen 30 (3) Seksyen 9 (1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mereka berdua turut dituduh di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN