Sharnaaz perlu tunggu sehingga 17 November untuk status representasi - Utusan Malaysia

Sharnaaz perlu tunggu sehingga 17 November untuk status representasi

SHARNAAZ Ahmad Bazir Ahmad (dua dari kanan) berbincang dengan para peguamnya di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas keputusan representasinya ditangguhkan. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad perlu menunggu sehingga 17 November ini bagi mengetahui keputusan representasi yang dikemukakannya untuk menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium, tahun lalu.

Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan terkini representasi yang kini masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan representasi masih dalam pertimbangan AGC manakala kertas siasatan masih berada dengan pihak pendakwaan.

Mendengar perkara itu, peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz tidak membantah sekiranya satu tarikh lain ditetapkan bagi keputusan status representasi tersebut.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian mencadangkan supaya satu lagi tarikh lanjutan ditetapkan bagi status representasi.

Pada prosiding itu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad turut diwakili oleh peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Sementara itu, Sharnaaz kecewa dengan perkembangan terbaru tersebut kerana penangguhan itu mengganggu urusan sehariannya.

“Perkara ini sangat mengganggu sebenarnya, kes sangat kecil kerana pengadu difahamkan sudah menarik balik laporan namun saya kena ikut prosedur dan hormati mahkamah walaupun sudah berlangsung setahun lebih,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah selepas prosiding itu.

Pada tarikh sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan representasi dihantar kepada AGC pada 2 Mei lalu dan pengadu mungkin tidak mahu meneruskan kes.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan Sharnaaz direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun 2022.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN