Selepas dijatuhkan penjara 17 bulan, penganggur didakwa rompak

Selepas dijatuhkan penjara 17 bulan, penganggur didakwa rompak berkumpulan

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan mencederakan mangsa. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan mencederakan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh, Yusni Long, 47, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Yau Baby@Yeow Herr Chou, 76, dan mengambil beg duit yang mengandungi tunai RM500 serta barangan peribadi mangsa.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang di tepi jalan berdekatan Nursery Semaian Seri Wangi, Jalan Lendu dalam daerah Alor Gajah pada 13 September 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan menggunakan parang terhadap Chai Ming You, 48, dan mengambil beg galas yang mengandungi wang tunai RM700, kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran MCF 9168.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di tepi jalan, Kampung Bukit Hantu, Lendu dalam daerah Alor Gajah pada tarikh sama.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Kesiksaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan, sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM33,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh telah dihukum penjara 17 bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal dan set meja besi, bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN