Permohonan S.M. Faisal mencelah semakan kehakiman Maria Chin diputuskan 6 Disember - Utusan Malaysia

Permohonan S.M. Faisal mencelah semakan kehakiman Maria Chin diputuskan 6 Disember

S.M. Faisal Nasimuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan ahli perniagaan, Datuk S.M. Faisal Nasimuddin untuk mencelah dalam semakan kehakiman oleh aktivitis, Maria Chin Abdullah akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Disember ini.

Maria memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M. Faisal.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, S.M. Faisal selaku pemohon diwakili peguam-peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Suleiman Abdullah manakala Maria diwakili peguam, Rosli Dahlan.

Turut serta ialah Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Muhammad Fuad dan peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)(ketika itu), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

Terdahulu, Akberdin menghujahkan anak guamnya wajar dibenarkan untuk menjadi pencelah dalam semakan tersebut kerana semakan kehakiman itu mempunyai kaitan dengan kes membabitkan dirinya dengan Emilia.

Rosli membantah permohonan tersebut atas alasan, semakan itu hanya membabitkan keputusan Mahkamah Syariah untuk memulakan prosiding komital terhadap MAria dan tidak berkait dengan S.M. Faisal.

Zainul Rijal dan Liyana tidak membantah terhadap permohonan ahli perniagaan terbabit.

Pada 3 Mac 2021, Maria memfailkan permohonan semakan kehakiman itu antaranya memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Pada 3 Mei 2021, SM Faisal memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman itu Maria memfailkan semakan kehakiman itu dengan merujuk kes membabitkan dirinya dan Emilia.

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi di sini memberi kebenaran kepada Maria untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan semakan tersebut tidak mencabar mana-mana undang-undang syariah yang tertakluk dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Sebaliknya, semakan kehakiman itu mencabar bidang kuasa mahkamah syariah mengeluarkan perintah membenarkan notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadapnya.

Pada 25 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh SM Faisal berikutan tindakan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi yang melanggar perintah mahkamah berhubung hak lawatan.

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN