Penentuan Yasin dibebas atau bela diri kes dadah esok - Utusan Malaysia

Penentuan Yasin dibebas atau bela diri kes dadah esok

YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan sama ada penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tiga pertuduhan dadah, akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini esok.

Hakim Faiz Dziyauddin akan menyampaikan keputusan pada akhir kes pendakwaan sama ada wujud kes prima facie terhadap Muhammad Yasin atau tertuduh dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan itu.

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil saksi ketujuh yang juga saksi terakhir, Profesor Dr. S. Sreeramanan yang merupakan pakar bioteknologi tumbuhan memberi keterangan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, seorang pegawai polis yang juga saksi pendakwaan ketiga memberitahu, tertuduh kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata penyanyi itu dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mahkamah turut mendengar keterangan seorang pegawai kimia bahawa ujian saringan yang dijalankan terhadap sampel air kencing milik penyanyi dan komposer itu mengandungi kanabis.

Rusli Ibrahim, 56, berkata, air kencing itu positif `cannabinoid’ manakala hasil ujian akhir mendapati sampel tersebut mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Pegawai Sains (Kimia Hayat) yang bertugas di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dekat sini, sampel air kencing itu tidak tercemar kerana disimpan pada suhu yang sepatutnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) makmal penyimpanan sampel.

Pada 6 Julai lalu, mahkamah diberitahu, Muhammad Yasin Sulaiman layak dibicarakan atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan artis itu berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.

Pihak pendakwaan memaklumkan, hasil pemeriksaan itu turut menyimpulkan Muhammad Yasin mengalami bipolar disorder, (keceleruan efektif) dan Hyperthyroidism namun keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan Muhammad Yasin dirujuk ke hospital berkenaan selepas membenarkan permohonan peguamnya mengikut Seksyen 342 CPC.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Muhammad Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala Muhammad Yasin diwakili peguam-peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

Semasa prosiding, Raja Zaizul turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan antaranya doktor dan anggota polis.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN