Pemotong rumput mengaku salah keluarkan kata-kata lucah

Pemotong rumput mengaku salah keluarkan kata-kata lucah

TERTUDUH didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang juruwang wanita. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang juruwang wanita, bapa kepada tiga anak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Majistret Nabilah Nizam selepas tertuduh, Affan Razali, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan, didapati mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.14 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kejora 2A, Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Ogos 2023.

Tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan bekerja sebagai pemotong rumput dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anaknya masih kecil.

Dakwa tertuduh, dia didorong perasaan tergoda selepas melihat bentuk tubuh badan mangsa dan turut mengakui telah insaf.

Bagaimanapun, mahkamah tidak bersetuju dengan hujah tertuduh memandangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis menunjukkan mangsa tidak memakai pakaian mencolok mata.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,500 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN