Peminat marah, geram kandungan IG Live burukkan Siti Nordiana - Utusan Malaysia

Peminat marah, geram kandungan IG Live burukkan Siti Nordiana

SYURA (dua dari kiri) dan Lan Solo (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman Siti Nordiana Alias. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, seorang pengikut Instagram (IG) marah selepas menonton siaran langsung (IG Live) berhubung perbualan lima individu yang didakwa menyentuh kelakuan buruk penyanyi Siti Nordiana Alias dan pengurusnya, dua tahun lalu.

Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen, 20, mengaku geram dengan perbuatan mereka memburuk-burukkan Siti Nordiana, 39, (plaintif) dan Mohammad Al Anas Osman, 39, menyebabkannya cuba memuat turun IG Live tersebut ke dalam cakera padat (CD).

Bagaimanapun penuntut sebuah universiti itu yang juga peminat Siti Nordiana berkata, dia tidak berjaya memuat turun IG Live tersebut kerana ia telah dinyahpadam.

“Saya cuba melayari laman Youtube dan berjaya menemui rakaman IG Live tersebut di dalam saluran Youtube ‘Manusia Lemah’.

“Saya telah memuat turun rakaman IG Live tersebut ke dalam CD sebanyak tujuh bahagian,” katanya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin.

Saksi plaintif ketiga itu menyatakan, IG Live oleh kelima-limanya bersiaran secara langsung selama lebih sejam pada lewat malam di antara pukul 11.58 malam, 20 Julai 2021 dan awal pagi esoknya.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Menurut Nur Afifah, dia percaya perbualan itu merujuk kepada Siti Nordiana dan pengurusnya kerana nama mereka disebut berulang kali yang menggambarkan watak buruk yang didakwa dilakukan oleh kedua-duanya.

“Saya tidak memberi reaksi apa-apa kecuali satu hantaran berbunyi ‘Huh’,” katanya dalam pernyataan saksi. Gadis itu mengaku amat meminati dunia hiburan tanah air dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini golongan artis.

Nur Afifah memberi keterangan pada perbicaraan kes tuntutan saman RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura manakala Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Sam dan Nur Izzaida Zaman bagi pihak Razidah.

Menurut saksi, dia merupakan  pengikut IG  defendan kedua, defendan ketiga, defendan keempat dan defendan kelima sejak beberapa tahun kebelakangan dan setiap aktiviti mereka secara siaran langsung akan muncul di akaunnya.

Ketika disoal balas oleh Azlan, Nur Afifah bersetuju bahawa perlakuan buruk Siti Nordiana dan pengurusnya yang dibualkan oleh kelima-lima defendan adalah berdasarkan pendapatnya semata-mata.

Saksi turut bersetuju bahawa kelima-lima rakan artis itu hanya meluahkan perasaan kecewa terhadap kedua-duanya serta bersetuju bahawa dia tidak mengetahui sama ada perlakuan buruk itu benar-benar berlaku kerana tidak berada di tempat kejadian.

Dia juga memberitahu tidak pernah mengesahkan semua dakwaan yang dibuat Lan Solo serta rakan-rakannya terhadap juara Gegar Vaganza 2 itu.

Dalam pada itu, penuntut berkenaan menafikan dia marah dan geram dengan kandungan IG Live itu kerana terlalu fanatik terhadap Siti Nordiana serta tidak bersetuju bahawa dia mempunyai kepentingan demi mendapat status sosial dalam kalangan peminat artis berkenaan.

Menjawab soalan balas Nur Izzaida, saksi menafikan tidak mempunyai rakaman IG Live itu kerana dia sendiri yang merakamnya.

Nur Izzaida: Jika awak sendiri yang ada rakaman itu, kenapa awak perlu bersusah payah mencarinya di Youtube ‘Manusia Lemah’?

Nur Afifah: Ini kerana saya cuba cari di IG, tapi tidak jumpa, sebab telah dihapuskan, jadi saya cuba pula di Youtube dan nama ‘Manusia Lemah’ muncul di dalam carian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan bersambung 24 November ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN