Pemilik syarikat didakwa menipu, kemuka dokumen palsu

Pemilik syarikat didakwa menipu, kemuka dokumen palsu

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan satu tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif berjumlah RM174,200.

Mohd. Azlan Sinin, 45, turut meminta dibicarakan atas satu pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu iaitu borang pengesahan pekerja bagi menuntut insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana).

Pertuduhan pertama, bapa dua anak itu selaku pemilik syarikat Ingenious Vision didakwa mengemukakan dokumen itu atas nama syarikatnya bagi menuntut insentif Penjana 2.0 berjumlah RM4,800. Mohd. Azlan didakwa menyerahkan dokumen mengandungi pernyataan palsu iaitu tanda tangan seorang individu dalam dokumen pengesahan pekerja dengan niat memperdayakan Perkeso.

Bagi pertuduhan pertama dan pilihan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan di sini, pada 15 Mac 2021. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd. Azlan didakwa memperdayakan tiga pegawai perkhidmatan pekerja Perkeso sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berjumlah RM169,400.

Wang itu didakwa untuk insentif 56 individu dalamsenarai pekerja di Data Penjana Kerjaya 1.0 syarikat Ingenious Vision walhal mereka tidak lagi bekerja di syarikat milik tertuduh. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Setapak, Jalan Genting Kelang di sini pada 8 dan 18 Disember serta 28 November 2020. Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara boleh sampai 15 tahun atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 23 November ini. Mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Dennis Micheal Pereira yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM20,000 kerana anak guamnya perlu menanggung dua anak serta ibu bapanya selain telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan.

“Jumlah jaminan RM100,000 yang dipohon pihak pendakwaan adalah keterlaluan dan bersifat menindas. Anak guam saya boleh membayar jaminan RM20,000,” katanya dan menambah tidak membantah syarat tambahan yang dipohon pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN