Najib gagal rayu perintah mareva SRC International - Utusan Malaysia

Najib gagal rayu perintah mareva SRC International

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung perintah injunksi mareva yang diperoleh SRC International Sdn. Bhd. yang menghalangnya daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Perintah injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu di Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan dan bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan bahawa tiada keperluan untuk untuk mahkamah itu berbuat demikian.

“Selepas meneliti kes rujukan dan mendengar hujah peguam-peguam, kami berpuas hati tiada sebarang keperluan untuk mahkamah ini membuat semakan semula berhubung risiko pelupusan aset yang telah dinyatakan dengan jelas dalam kes terdahulu.

“Penggunaan penanda aras yang ditetapkan dalam kes terdahulu adalah berbeza bagi kes dan berdasarkan fakta bagi setiap kes.

“Kami dapati hakim terdahulu telah mengambil kira perbezaan dan mengguna pakai setiap penanda aras berdasarkan fakta matriks kes adalah cukup untuk membuat penentuan dalam menjawab persoalan berhubung pelupusan (aset),” kata Hakim Nallini ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.

Oleh itu katanya, semakan semula penanda aras itu adalah tidak perlu.

“Permohonan ditolak dengan kos sebanyak RM30,000,” kata hakim itu.

Pada prosiding yang dijalankan secara atas talian disertai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Mohammad Arfan Wan Othman mewakili Najib manakala peguam-peguam Lim Chee Wee dan Nagarajah Muttiah mewakili syarikat-syarikat tersebut.

Najib memfailkan permohonan tersebut selepas Mahkamah Rayuan pada 6 Disember 2022 menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung perintah injunksi mareva tersebut.

Pada 6 Disember 2022, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri yang diketuai oleh Datuk Yaacob Md Sam dan bersidang bersama-sama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian atas alasan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mengeluarkan perintah tersebut.

Pada 24 Mac 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi mareva yang dimohon oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn. Bhd.

Mahkamah turut mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut. Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN