Muhyiddin mohon lepas tanpa bebas tiga lagi pertuduhan - Utusan Malaysia

Muhyiddin mohon lepas tanpa bebas tiga lagi pertuduhan

MUHYIDDIN YASSIN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon agar beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga lagi pertuduhan yang masih dihadapinya membabitkan di Mahkamah Sesyen di sini.

Tiga pertuduhan itu membabitkan aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Permohonan DNAA itu difailkan pada 2 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Berdasarkan afidavit permohonan yang difailkan oleh Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, beliau sudah dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan predikat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 15 Ogos lalu.

Oleh kerana pertuduhan yang menjadi kesalahan predikat tidak berasas, maka tuduhan di bawah seksyen 4(1)(b) dibaca bersama dengan seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 juga adalah tidak berasas.

Selain itu, Ali Parlimen Pagih itu mendakwa adalah tidak wajar dan tidak adil untuk beliau terus menghadapi pendakwaan serta perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram kerana proses perbicaraan yang panjang akan menjejaskan kualiti kehidupannya.

“Oleh itu, saya percaya bahawa hak saya di bawah Fasa 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan akan terjejas sekiranya permohonan ini tidak dibenarkan dan saya dipaksa untuk menghadapi perbicaraan bagi pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas. Saya juga percaya bahawa pihak responden (pendakwa raya) tidak akan diprejudiskan sekiranya permohonan ini dibenarkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU didakwa menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini.

Pada 13 Mac lalu pula, Muhyiddin sekali lagi selaku Presiden BERSATU didakwa menerima wang RM5 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun AmBank milik parti berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 7 Januari 2022 di AmBank Cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat dekat sini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) AMLATFPUAA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN