Menghasut: Kes Muhammad Sanusi bicara Januari 2024 - Utusan Malaysia

Menghasut: Kes Muhammad Sanusi bicara Januari 2024

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang bagi sebutan semula dakwaan atas dua pertuduhan menghasut hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Selayang bermula Januari 2024.

Hakim Nor Rajiah Mat Zain menetapkan kes bermula pada 18 dan 19 Januari 2024.

Selain itu, kes juga akan dibicarakan pada 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari 2024.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 orang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Sanusi diwakili barisan sembilan peguam diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Terdahulu, pendakwaan mengemukakan pindaan terhadap dua pertuduhan yang dihadapi Muhammad Sanusi.

Pindaan tersebut membabitkan perubahan pada seksyen pertuduhan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan namun dipinda kepada Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Seksyen itu masih membawa hukuman sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya bagi kedua-dua tuduhan pindaan itu.

Pada 18 Julai lalu, Muhammad Sanusi didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung tindakan Sultan Selangor melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.

Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini.

Pada prosiding awal, kes Muhammad Sanusi di Mahkamah Sesyen 1 dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 2 untuk dibicarakan bersama.

Masri memaklumkan, pihaknya membuat permohonan tersebut kerana kedua-dua kes melibatkan kejadian dan saksi yang sama.

Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN