Kes saman Tommy Thomas-Pasukan Petugas Khas perlu dibicarakan - Utusan Malaysia

Kes saman Tommy Thomas-Pasukan Petugas Khas perlu dibicarakan

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saman oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menyiasat pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, terdapat beberapa dakwaan yang dibuat oleh plaintif (Tommy) adalah dengar cakap (hearsay) dan tidak boleh diputuskan melalui bukti afidavit.

Jelasnya, berdasarkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam plaintif, Tommy menegaskan bahawa penubuhan PPK, penyahklasifikasi laporan PPK dan kemudian disiarkan hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-15 hanya mempunyai satu tujuan iaitu untuk menyerang kredibilitinya.

Bagi membuktikan dakwaannya, Hakim Wan Ahmad Farid menyatakan, Tommy telah bergantung kepada ucapan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang dibuat pada kempen Barisan Nasional di Bagan Datuk, Perak pada 17 Oktober 2022.

“Tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan bahasa yang digunakan oleh Ismail Sabri dalam ucapannya. Adakah ia dalam Bahasa Malaysia atau dalam Bahasa Inggeris? Jika ia (ucapan Ismail Sabri) dibuat dalam Bahasa Malaysia, adakah laporan berita dalam Bahasa Inggeris di Malaysiakini adalah laporan tepat ucapan bekas Perdana Menteri itu?” Soal Hakim Wan Ahmad Farid.

Katanya, Tommy memohon relif antara lainnya untuk kerugian reputasi (reputational loss). Malah, plaintif sendiri mendakwa kemungkinan telah berlaku pelanggaran hak asasinya adalah berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan fitnah.

“Oleh itu, apakah cara untuk memulakan sesuatu tuntutan yang melibatkan fitnah? Berdasarkan Kaedah 5(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah, mana-mana prosiding akan mengakibatkan timbulkan pertikaian fakta, akan menjadi writ (saman).

“Oleh itu, saya tidak bersedia untuk membatalkan saman ini. Tetapi saya mengarahkan agar saman pemula ini ditukarkan kepada saman sivil untuk dibicarakan dan diputuskan melalui perbicaraan penuh.

“Saya juga tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung kesahan penubuhan PPK dan sama ada ia ditubuhkan mengikut perlembagaan atau mengikut undang-undang kerana ia akan diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Tiada sebarang perintah berhubung kos,” kata hakim itu.

Hakim Wan Ahmad Farid berkata demikian ketika membaca keputusan ringkasnya berhubung permohonan PPK dan kerajaan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Tommy yang mendakwa laporan oleh PPK adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Tommy diwakili peguam-peguam Mervyn Lai Wei Shiung dan Haikaldin Mahyidin manakala PPK tersebut diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Nurulbadriah Yusof, Liew Horng Bon dan Nur Irmawatie Daud.

Pada 27 Oktober lalu, Tommy memfailkan saman pemula dengan menamakan pengerusi dan kesemua ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Pasukan Petugas Khas yang diwujudkan sekitar Disember 2021 dipengerusikan Penasihat Undang-undang dan bekas Peguam Besar Sarawak, Fong Joo Chung selain dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah, Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Junaidah Kamaruddin.

Pasukan itu turut dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Jagjit Singh serta dua peguam Shaharudin Ali dan K. Balaguru selain wakil-wakil daripada kementerian/jabatan berkepentingan.

Menurut saman pemulanya, Tommy antara lain memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas dan ahlinya adalah badan tidak sah, tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan dilakukannya.

Ia antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN