Ibu tunggal mengaku curi barang di tiga farmasi

Ibu tunggal mengaku curi barang di tiga farmasi

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas empat pertuduhan mencuri 147 produk kosmetik dan kesihatan bernilai RM13,002.23. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita yang juga ibu tunggal empat anak dihukum lapan bulan penjara dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencuri 147 produk kosmetik dan kesihatan bernilai RM13,002.23.

Tertuduh, Sazila Isa, 40, membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan di hadapan Majistret Khairunnisak, tertuduh dengan niat curang telah mencuri 115 produk kecantikan dan kesihatan pelbagai jenis, keseluruhan berjumlah RM9,709.88.

Kesalahan itu dilakukan di Farmasi Guardian Jalan Bunga Raya dan Farmasi Guardian Kipmall, Jalan Tun Fatimah, Bachang dalam daerah Melaka Tengah antara 29 April 2023 hingga 6 September 2023.

Bagi pertuduhan di hadapan Majistret Sharda Shienha pula, tertuduh didakwa mencuri 32 produk sama berjumlah RM3,291.75 di Farmasi Guardian Mahkota Parade dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 8.15 malam, 26 Julai 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar dan Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon penjara dari tarikh ditangkap berserta denda dengan nilai rendah, memandangkan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang perlu menyara empat anak.

Mahkamah menjatuhkan lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap bermula 9 September lalu dan denda RM5,500 bagi semua kesalahan atau dua bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN