Hakim tarik diri dengar rayuan saman Najib-Tommy Thomas - Utusan Malaysia

Hakim tarik diri dengar rayuan saman Najib-Tommy Thomas

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan kes saman bekas Perdana Menteri itu terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menarik diri daripada mendengar prosiding terbabit.

Terdahulu, Hakim Azizah mendedahkan bahawa suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman pernah berkhidmat di bawah sewaktu Tommy di Jabatan Peguam Negara.

Mendengar pendedahan tersebut, peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili Najib memohon masa bagi mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya.

Selepas mahkamah bersidang semula kira-kira 10 minit kemudian, Firoz Hussein memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib memohon agar HAkim Azizah menarik diri daripada panel rayuan terbabit.

Bagaimanapun, peguam, Alan Adrian Gomez memaklumkan bahawa Hakim Azizah yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong tidak perlu menarik diri kerana tidak wujud sebarang risiko bahaya berat sebelah.

“Saya bercadang menarik diri daripada mendengar kes ini kerana suami saya (berkhidmat) secara terus di bawah responden (Thomas). Asas kepada penarikan ini adalah kerana kes membabitkan kepentingan awam, jadi adalah lebih baik kita mempunyai standard yang tinggi,” kata Hakim Azizah.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan akan menetapkan tarikh pengurusan kes rayuan terbabit bagi menentukan panel yang akan mendengar rayuan Najib.

Najib, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2022 yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy Thomas dalam saman Najib terhadap bekas peguam negara itu.

Najib mendakwa pelantikan Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.

Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas sudah melakukan misfeasans (salah laku dalam jawatan awam) serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta yang meliputi kos perundangan yang ditanggungnya dalam menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada 25 November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 22 Disember lalu.

Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Oktober ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN