Guru agama didenda RM12,000 perdaya wanita, simpan gambar

Guru agama didenda RM12,000 perdaya wanita, simpan gambar lucah

TERTUDUH didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah memperdayakan dua wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud dan memiliki gambar lucah. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru sekolah agama didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memperdayakan dua wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud dan memiliki gambar lucah.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menerima pengakuan tertuduh, Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan dua wanita berusia 19 dan 33 tahun secara berasingan untuk mempercayai tawaran pinjaman berjumlah RM300 dan RM2,000 adalah wujud sehingga mendorong kedua-dua mangsa melakukan hubungan seks, yang mana mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.40 pagi di sebuah hotel di Jalan PM 4, Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Mac 2023 dan pukul 11 pagi di lot 2039, Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Oktober 2023.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbit miliknya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang di sebuah sekolah agama di Solok Gaung, Bukit Lintang, Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Oktober 2023.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan masih menanggung kedua ibu bapa, isteri yang masih belajar dan dua anak kecil.

Mahkamah menjatuhkan denda RM3,500 bagi setiap kes penipuan atau tiga bulan penjara jika gagal bayar manakala RM5,000 bagi kesalahan memiliki gambar lucah atau dipenjara 10 bulan jika gagal bayar.

Mahkamah turut memerintahkan telefon pintar tertuduh dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN