Dipenjara 17 bulan mengaku curi motosikal, meja

Dipenjara 17 bulan mengaku curi motosikal, meja

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan mencuri sebuah motosikal dan set meja besi. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki dihukum penjara 17 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal dan set meja besi, bulan lalu.

Tertuduh, Yusni Long, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran MCF 9803 jenis Modenas berwarna biru milik Bong Kim, 76.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di Nursery Semaian Seri Wangi, Rembia dalam daerah Alor Gajah pada 13 September 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan kesalahan mencuri satu set meja besi bersama empat buah kerusi besi milik Idris Md. Alif, 54.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi di hadapan sebuah rumah lot, Jalan Melor 1, Kampung Baru Paya Datuk dalam daerah Alor Gajah pada 13 September 2023.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan.

Mahkamah menjatuhkan penjara 12 bulan bermula dari tarikh sabitan untuk pertuduhan pertama sementara penjara lima bulan bagi kes curi set meja besi yang akan berjalan selepas hukuman terdahulu tamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN