Dana 1MDB dipindah melalui sistem perbankan luar negara

Dana 1MDB dipindah melalui sistem perbankan luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, pengeluaran dana daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya dipindahkan melalui sistem perbankan pelbagai bidang kuasa asing antara September 2009 dan Disember 2014.

Adam Ariff Mohd. Roslan, 29, berkata, berdasarkan laporan analisis setebal 76 muka surat yang disediakannya, sebahagian daripada RM2.28 bilion yang dipindah keluar dibawa masuk semula ke negara ini dan berakhir di dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Berdasarkan dokumen perbankan dan maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat, didapati dana-dana yang dinyatakan dan diterima oleh Najib melalui dua akaun peribadinya boleh dikesan daripada dana yang diperoleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya,” kata saksi pendakwaan ke-47 itu.

Terdahulu, ketika menjelaskan mengenai fasa keempat atau Fasa Opsyen Pembelian Semula (Option Buyback), Adam Arif menyatakan terdapat dua transaksi membabitkan RM49,930,985.70 berlaku antara 23 Jun 2014 dan 19 Disember 2014.

Dana melebihi RM49 juta itu adalah sebahagian daripada pinjaman pertama yang dikeluarkan kepada 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) membeli kembali opsyen Aabar bagi pembelian dua syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Ketika kali pertama memberi keterangan, saksi itu menyatakan jejak aliran wang sebanyak RM2.28 bilion daripada 1MDB dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi Najib melalui empat fasa.

Bagi transaksi pertama fasa keempat yang berlaku pada 23 Jun 2014, Adam Arif memberitahu, akaun Najib yang berakhir 1880 menerima £750,000 (RM4,093,500) daripada DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited.

Blackrock dikatakan syarikat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu rapat Jho Low.

“Antara 23 Oktober 2014 dan 19 Disember 2014, RM45.9 juta daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun Najib daripada akaun di Amicorp Bank Barbados yang atas nama Vista Equity International Partners Limited didapati sebahagiannya boleh dikesan daripada hasil pinjaman AS$975 juta oleh 1MEHL pada 2014,” katanya.

Tiga lagi fasa membabitkan Fasa Good Star yang berlaku antara 23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 melibatkan kemasukan wang sebanyak RM60,629,839.43 ke dalam akaun Najib.

Fasa kedua ialah Fasa Aabar-BVI membabitkan dua transaksi iaitu dantara 30 Oktober 2012 dan 20 November 2012 melibatkan wang berjumlah RM90,899,927.28 dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Fasa ketiga ialah Fasa Tanore yang mana antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013 sebanyak RM2,081,476,926 dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN