Bekas penghantar makanan kekal dipenjara 8 tahun, 12 sebatan - Utusan Malaysia

Bekas penghantar makanan kekal dipenjara 8 tahun, 12 sebatan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penghantar makanan kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuannya terhadap hukuman kerana memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun.

“Saya telah meneliti rekod rayuan serta alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen. Saya dapati tiada sebarang kesilapan dari segi fakta dan undang-undang ketika beliau (hakim) menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

“Oleh itu, rayuan perayu ditolak, hukuman sedia ada dikekalkan,” kata Hakim Azhar.

Muhammad Al Hafiz diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Sofian Jamaludin manakala Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene bertindak sebagai responden.

Pada 11 Januari lalu, Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas Muhammad Al Hafiz  menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan bagi kesalahan mengambil dadah serta pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Bagaimanapun, hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 8 November 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 47.20 gram dan memasukkan dadah itu ke dalam badannya di tepi tangga Blok KP2, di Taman Kuchai Jaya di sini dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields, pada 8.30 malam dan 10 malam, 8 November 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan minimum 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN