Adam Radlan bakal didakwa lagi di Shah Alam atas pertuduhan di bawah AMLA - Utusan Malaysia

Adam Radlan bakal didakwa lagi di Shah Alam atas pertuduhan di bawah AMLA

Adam Radlan Adam Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu depan atas beberapa pertuduhan kes pengubahan wang haram.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fadhly Mohd Zamry dan Farah Yasmin Salleh pada prosiding sebutan lima tuduhan rasuah dan satu tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada prosiding hari ini, dua tuduhan meminta dan menerima rasuah RM2 juta dihadapi Adam Radlan, disebut di hadapan Hakim Azura Alwi.

Selain itu, tiga tuduhan menerima rasuah RM2.1 juta, RM500,000 dan meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek serta satu tuduhan pengubahan wang haram, disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pendakwaan sebelum ini memohon supaya kesemua lima tuduhan rasuah dibicarakan secara bersama di hadapan Suzana.

Terdahulu, Mohd Fadhly memberitahu Azura, pendakwaan akan mengemukakan tuduhan terhadap Adam Radlan pada minggu depa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Berikutan itu, katanya pihaknya memohon tarikh sebutan baharu untuk memindahkan kes (bagi tujuan dibicarakan bersama) selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selesai.

“Pada prosiding sebelum ini, pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk memindahkan semua kes yang dihadapi oleh tertuduh ke Mahkamah Sesyen 14 (di hadapan Hakim Suzana Hussin).

“Bagaimanapun, ada perkembangan baharu iaitu pada 25 Oktober lalu, tertuduh dituduh dengan tuduhan di bawah AMLATFPUAA dan ia dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 14.

“Pendakwaan juga membuat keputusan untuk menuduh tertuduh atas kesalahan pengubahan wang haram pada minggu hadapan di Shah Alam,” katanya.

Sehubungan itu, Azura menetapkan 28 November ini bagi tarikh sebutan. Perkara sama turut dimaklumkan Farah Yasmin di hadapan Hakim Suzana Hussin, dan meminta tarikh sebutan sama.

Dalam prosiding itu, peguam Wee Yeong Kang bertindak bagi pihak Adam Radlan.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan didakwa dengan dua tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh Mat Jusoh Mamat iaitu Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd dan suapan bernilai RM500,000 daripada individu sama berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari pula, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari lalu, Adam Radlan didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Kesemua tuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN