3 rakan didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000 - Utusan Malaysia

3 rakan didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000

DUA sahabat dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri yang pernah didakwa menculik seorang lelaki Palestin tahun lalu, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini
atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000, tahun lalu.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu Nidarahayu Zainal, 35, suaminya Raibafie Amdan, 40, dan seorang lagi rakan mereka Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Nidarahayu didakwa melupuskan wang berjumlah RM20,650.86 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan bank CIMB Bank Berhad miliknya ke dua akaun bank iaitu CIMB Bank dan Maybank Islamic Berhad di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Maluri di sini antara 15 September 2022 dan 3 Oktober 2022.

Wanita itu turut berdepan 13 pertuduhan iaitu memindahkan wang berjumlah RM184,985.46 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank sama miliknya ke dalam akaun bank milik empat buah syarikat serta lapan individu di tempat sama antara 15 September 2022 dan 2 Oktober 2022.

NIDARAHAYU Zainal dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000.

Bagi perbuatan itu, Nidarahayu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Sementara bagi Raibafie dan Tengku Arif Bongsu, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan menerima RM30,350 dan RM25,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun CIMB milik Nidarahayu dan sebuah syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di CIMB Bank cawangan Jalan Bukit Bintang dan Taman Mutiara di sini antara 29 September 2022 dan 2 Oktober 2022.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria menawarkan jaminan RM100,000 terhadap Nidarahayu dan RM50,000 masing-masing terhadap Raibafie dan Tengku Arif Bongsu.

Bagaimanapun peguam Goh Kim Lian yang mewakili Tengku Arif Bongsu memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana kes culik yang dipertuduhkan terhadap anak guamnya masih belum dibuktikan.

Sementara Nidarahayu dan Raibafie yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan tiga orang anak.

“Sejak kami ditahan (reman) dipenjara selama setahun dua bulan, tiga anak dijaga oleh ahli keluarga saya, jadi pohon mahkamah memberikan ikat jamin,” kata Raibafie.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Mohd. Kafli kemudian memberikan Nidarahayu diikat jamin RM60,000 manakala Tengku Arif Bongsu dan Rabafie masing-masing RM20,000.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan. Tarikh 20 November ini ditetapkan kes.

Pada 14 Oktober 2022, ketiga-tiga tertuduh merupakan antara 13 individu yang didakwa atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam pada 28 September lalu (2022) yang didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Media pada 5 Oktober 2022 melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September 2022.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN