3 lelaki didakwa peras remaja, mangsa serah RM283,000 - Utusan Malaysia

3 lelaki didakwa peras remaja, mangsa serah RM283,000

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang remaja berusia 18 tahun sehingga mangsa membuat transaksi wang secara dalam talian berjumlah RM283,000.

Yap Ming Shuia, 31; Low Kah Wei, 26, dan Ivan Heah Khai Yee, 23, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Ketiga-tiganya didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap remaja lelaki itu sehingga mendorong mangsa membuat transaksi dalam talian berjumlah RM283,000 ke dalam beberapa akaun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di antara 11.06 pagi, 29 September lalu dan 12.30 tengah hari, 3 Oktober lalu di sebuah kondominium di Bukit Jalil di sini.

Tertuduh-tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norina membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 20 November ini.

Mahkamah turut melarang tertuduh-tertuduh dan ahli keluarga mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd. Latip tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah tinggi.

Nidzuwan menyatakan, kertas siasatan pada awalnya dibuka mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik dan dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri.

“Walaupun kesalahan ini tidak boleh dijamin, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan dan saya mencadangkan jaminan antara RM20,000 sehingga RM30,000 bagi setiap tertuduh,” katanya.

Peguam P. Muniswer mewakili Ming Shuia dan Wei Yap manakala Navinjit Singh mewakili Ivan masing-masing memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka berpendapatan di bawah RM 3,000 serta menanggung keluarga.

Muniswer berkata, jumlah kerugian yang tinggi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak memberikan jaminan.

Jelas peguam bela, mahkamah boleh meletakkan syarat jaminan dan jika tidak dipatuhi, jaminan boleh ditarik balik.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan, Polis Bukit Aman mengesan taktik baharu penjenayah dalam kes penipuan yang mengarahkan sasarannya supaya berpura-pura menjadi mangsa penculikan dan meminta wang tebusan daripada keluarga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, remaja itu dihubungi seorang individu yang mengaku pegawai polis kononnya dia mempunyai bungkusan dipercayai mengandungi sejumlah dadah di atas namanya.

“Dia diminta untuk membantu siasatan kemudian kes itu diserahkan kepada seorang lagi pegawai polis kononnya pegawai atasan dan di sini bermulanya transaksi duit,” ujar Mohd. Shuhaily.

Tambah Mohd. Shuhaily, apabila remaja terbabit tidak lagi mempunyai wang, dia seterusnya diarahkan untuk melarikan diri dan bersembunyi di sebuah inap desa di Shah Alam.

Kata beliau, remaja itu mengikut arahan penjenayah dan diarah untuk menghubungi ibunya dengan mengatakan dirinya diculik.

Menurutnya, ibu bapa remaja itu cuba menghubungi anak lelaki mereka beberapa kali namun gagal dan seterusnya membuat laporan polis.

Mohd. Shuhaily berkata, polis berjaya mengesan dan menyelamatkan remaja tersebut pada 5 Oktober lalu dan mendapati tiada elemen-elemen penculikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN