Tiada bukti Bung Moktar terima rasuah RM2.8 juta melalui Zizie Izette - Peguam - Utusan Malaysia

Tiada bukti Bung Moktar terima rasuah RM2.8 juta melalui Zizie Izette – Peguam

BUNG Moktar Radin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi permohonan semakan terhadap keputusan yang mengarahkannya dan isteri membela diri terhadap pertuduhan rasuah. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tiada bukti menunjukkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan unit amanah Public Mutual, melalui Datin Seri Zizie Izette A. Samad.

Beliau berhujah, kedua-dua ejen pelaburan iaitu Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, tidak pernah menyatakan mereka memberi wang tersebut bagi pihak Bung Moktar.

Sehubungan itu, Athimulan menghujahkan, tiada bukti secara rekod atau berdokumen bahawa Bung Moktar menerima suapan mahupun Zizie Izette menyerahkan wang itu kepada suaminya, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Justeru Athimulan memohon agar keputusan Mahkamah Sesyen memanggil Bung Moktar dan isterinya membela diri, disemak dan diketepikan.

Mahkamah sedang mendengar permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.

Pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Madhi dan Norhaili masing-masing dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25.

Pada 14 Januari 2022, Madhi berkata, Bung Moktar tidak pernah meminta komisen RM3.5 juta daripadanya sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.

Madhi berkata, Bung Moktar tidak meminta komisen sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju wang RM2.2 juta diberikan kepada Zizie Izette sebagai wang pengenalan.

Norhaili pula ketika memberi keterangan turut menyatakan, tiada sebarang permintaan rasuah daripada Bung Moktar mahupun Zizie Izette sebaliknya wang RM2.8 juta yang dibayar kepada isterinya adalah `wang pengenalan’, bukan rasuah.

Athimulan berhujah, dapatan hakim Mahkamah Sesyen ketika memerintahkan kedua-duanya membela diri, tidak selaras dengan prosedur di bawah Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah.

Hujah beliau, dapatan hakim berkenaan pada peringkat prima facie tidak betul, tidak sah dan tidak teratur kerana ia diperolehi tanpa menimbang keterangan material saksi pendakwaan ke-24 dan 25.

Hujahnya, dapatan hakim bicara satu kesilapan kerana dibuat tanpa berlandaskan bukti keterangan yang dikemukakan dan jika dikekalkan akan menyebabkan salah laksana keadilan terhadap kedua-dua tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menghujahkan, mahkamah boleh melaksanakan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memastikan keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang.

Hujah beliau, Mahkamah Tinggi boleh memanggil rekod prosiding Mahkamah Sesyen bagi mengesahkan dapatan hakim bicara dan seterusnya mengetepikan perintah yang dikeluarkan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How berhujah, keputusan hakim Mahkamah Sesyen memanggil kedua-dua membela diri tidak perlu disemak kerana tidak berlaku salah laksana keadilan seperti yang didakwa kedua-duanya.

Chin How seterusnya berhujah, hakim bicara tidak membuat keputusan itu hanya berdasarkan keterangan dua saksi material tersebut (Madhi dan Norhaili) sebaliknya turut mengambil kira saksi-saksi pendakwaan lain.

Hujah beliau, pada peringkat ini, kedua-dua tertuduh belum lagi mengemukakan keterangan bela diri manakala tiada bukti menunjukkan hak mereka untuk satu perbicaraan yang adil, dinafikan.

Hujah pendakwa raya, pemohon boleh pada bila-bila masa mengemukakan rayuan jika mereka disabitkan atas pertuduhan masing-masing pada akhir kes pembelaan.

“Mereka belum lagi didapati bersalah kerana perbicaraan masih berlangsung. Malangnya, mereka memilih untuk bergantung kepada semakan, bukan melalui landasan yang betul iaitu rayuan,” kata beliau.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid akan memutuskan permohonan itu petang ini.

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas menolak bantahan awal pihak pendakwaan.

Mahkamah berpuas hati, Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan berbuat demikian sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.

Panel itu berpuas hati, semakan boleh dilakukan melalui usul mahkamah itu sendiri selepas meneliti laporan akhbar atau jika terdapat mana-mana pihak yang berminat dengan prosiding itu, memfailkan permohonan semakan.

Pada hemat panel berkenaan, dalam kes Bung Moktar dan Zizie Izette, permohonan semakan difailkan oleh pasukan peguamnya pada peringkat kes prima facie dan menjadi tugas Mahkamah Tinggi untuk menimbang merit permohonan itu.

Pada 9 Disember 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya