Sembilan lelaki didakwa merusuh guna senjata

Sembilan lelaki didakwa merusuh guna senjata

KESEMUA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rusuhan menggunakan senjata. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didakwa melakukan rusuhan menggunakan senjata termasuk parang sehingga mendatangkan cedera parah di sebuah taman perumahan di Jasin.

Kesemua tertuduh, P. Kogilanathan, 24; A. Loges, 30; V. Megan, 26; R. Thiven, 26; D. Mahendran, 43; P. Thanabalan, 33; N. Murthy, 37; D. Thivendran, 33, dan M. Kugan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah merusuh menggunakan senjata parang, besi dan kayu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

Perbuatan itu dilakukan pukul 12.33 tengah malam di persimpangan Taman Ayer Merbau dalam daerah Jasin pada 11 September 2023.

Kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kogilanathan turut dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap Mahendran dan Murthy, menggunakan sebilah parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian di tempat, masa serta tarikh sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nora Yaacob mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan untuk setiap tertuduh dan RM25,000 bagi setiap pertuduhan tambahan terhadap Kogilanathan.

Peguam Jason Anthony Ignasius, V. Segaran dan S. Amritpal Singh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam mereka bekerja sebagai pemandu lori dan pembantu kedai runcit, selain perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan RM12,000 bagi dua pertuduhan Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadap Kogilanathan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN