Saksi nafi berbohong dalam kes Guan Eng - Utusan Malaysia

Saksi nafi berbohong dalam kes Guan Eng

LIM Guan Eng (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini beliau berbohong ketika memberi keterangan berkaitan wang RM2 juta yang didakwa untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ibrahim Sahari, 59, tidak bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa beliau tidak konsisten ketika memberi keterangan mengaitkan wang RM2 juta yang diminta oleh seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Ibrahim dan Zarul Ahmad ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Isu keterangan tidak konsisten itu ditimbulkan oleh peguam Gobind Singh Deo ekoran keterangan Ibrahim di Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan pengakuan Zarul Ahmad memaklumkan beliau ditipu Gnanaraja yang meminta wang RM19 juta kononnya untuk melindungi syarikatnya.

Di Shah Alam, Ibrahim menyatakan, Gnanaraja pada awalnya memberi tekanan kepada Zarul Ahmad dan meminta RM19 juta untuk menutup siasatan yang dilakukan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kesalahan pengubahan wang haram.

Saksi berkata, Zarul Ahmad kemudian menyedari beliau ditipu dan membawa perkara itu kepada perhatian mesyuarat lembaga pengarah dan mereka bersetuju melantik peguam bagi menghantar notis tuntutan mendapatkan kembali wang berkenaan.

Pada prosiding kes Guan Eng di ibu negara, Ibrahim sebaliknya mengaku menyediakan invois dan baucar palsu yang mana wang itu kemudian diserahkan kepada Zarul Ahmad yang didakwa digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Gobind: Keterangan kamu tidak konsisten. Kamu berdua (Ibrahim dan Zarul Ahmad) berbohong di mahkamah ini.
Ibrahim: Saya tidak menipu. Tapi saya tidak tahu sama ada Zarul Ahmad berbohong atau tidak. Itu kena tanya beliau sendiri.

Gobind: Memang tiada bayaran dibuat kepada anak guam saya (Guan Eng) sama ada untuk rasuah atau tujuan lain.
Ibrahim: Tidak tahu.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam Tiara Katrina Fuad, Ibrahim berkata, Zarul Ahmad memberitahu beliau memerlukan RM15 juta untuk diberikan kepada Gnanaraja bagi melindungi syarikat mereka daripada siasatan di bawah AMLA.

Kata saksi itu, pembayaran pertama sebanyak RM2 juta diberikan kepada Gnanaraja pada 2 Julai 2017 manakala pembayaran terakhir pada 18 Ogos 2017.

Ibrahim selanjutnya berkata, Zarul Ahmad tidak pernah memberitahunya bahawa wang itu untuk diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi tidak mengetahui mengapa tuntutan sivil tidak diteruskan terhadap Gnanaraja.

Beliau juga tidak mengetahui sama ada Zarul Ahmad berselindung ketika memberikan wang RM19 juta seperti yang diminta Gnanaraja.

Ibrahim turut menyatakan, transaksi pembayaran cek berkaitan kes di Shah Alam adalah berbeza dengan kes Guan Eng di sini.

Sebelum perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi ditangguhkan, Wan Shaharuddin memaklumkan prosiding selanjutnya akan mendengar keterangan Zarul Ahmad bagi sesi soal balas diikuti keterangan Gnanaraja dan pegawai penyiasat kes.

Azura kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 23 hingga 25 Oktober ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN