Rayuan pembebasan Muhyiddin Februari 2024 - Utusan Malaysia

Rayuan pembebasan Muhyiddin Februari 2024

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari tahun depan.

Tarikh pendengaran rayuan selama dua hari itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pihak media hari ini.

Menurut Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan selaku perayu dikehendaki memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 28 Januari manakala pihak responden memfailkan hujahan pada 16 Februari 2024.

“Hujahan balas perayu dan responden (jika ada) difailkan pada atau sebelum 26 Februari manakala ringkasan eksekutif (lima muka surat) difailkan jika hujahan bertulis melebihi 30 muka surat,” ujar beliau selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Haron hari ini.

Wan Shaharuddin turut memberitahu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Muhyiddin sementara menunggu pelupusan rayuan tersebut.

Ujar beliau, pendengaran permohonan itu akan didengar oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 November ini.

Alasan ringkas bagi menyokong permohonan itu antara lain menyatakan, perbicaraan wajar digantung sementara kerana wujud faktor kepentingan awam yang kuat dan alasan memaksa yang mewajarkan prosiding tidak diteruskan buat masa ini.

Pihak pendakwaan menyatakan, keputusan segera Mahkamah Rayuan perlu diperoleh terlebih dahulu berhubung ketepatan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin, 76, manakala rayuan juga melibatkan isu undang-undang.

“Jika bicara diteruskan, rayuan pendakwaan akan menjadi sia-sia dan tidak boleh diaksaskan (reverse) sekiranya terdapat permohonan interlokutori untuk mengetepikan ketiga-tiga pertuduhan AMLA.

“Penangguhan itu dapat mengelakkan proses perbicaraan diganggu atau diceraikan daripada pelbagai prosiding interlokutori yang tidak diingini,” demikian menurut permohonan tersebut.

Pada 15 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu daripada empat pertuduhan tersebut.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya berkata permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah hanya berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Muhyiddin masih kekal,” katanya.

Pada tarikh yang sama, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut.

Hakim Muhammad Jamil memutuskan demikian setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) ASPRM yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN