Petisyen cabar enakmen syariah Kelantan 20 November ini - Utusan Malaysia

Petisyen cabar enakmen syariah Kelantan 20 November ini

NIK Elin Zurina Nik Abdul Rashid ketika hadir pendengaran permohonan yang mencabar keabsahan 21 peruntukan undang-undang syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya baru-baru ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Ia dimaklumkan kepada media semalam oleh peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku pemerhati dalam pendengaran petisyen itu.

Katanya, panel bersidang akan mendengar penghujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam prosiding itu.

Ia terdiri daripada Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Petisyen difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Petisyen didengar pa­nel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili ke­dua-dua pempetisyen bahawa 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan.

Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Ne­geri Kelantan tiada kuasa menggubal peruntukan undang-undang jenayah tersebut kerana ia bidang kuasa Parlimen.

Peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif berhujah, peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung ke­salahan seks luar tabii. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN