Perunding perniagaan didakwa tipu dokumen tuntut dana Mitra - Utusan Malaysia

Perunding perniagaan didakwa tipu dokumen tuntut dana Mitra

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang perunding perniagaan yang diisytihar muflis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan berkaitan penipuan dokumen bagi menuntut dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjumlah RM331,047.40, tiga tahun lalu.

Tertuduh P. Anbalahgan, 61, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-15 Anbalahgan didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan Mitra, R. Kavithah dengan memperdayakannya sehingga mempercayai bahawa beberapa dokumen sebagai tulen.

Dokumen itu termasuk penyata nama sebuah bengkel motor, resit rasmi atas nama bengkel itu dan invois yang dikemukakan di dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020.

Sementara itu dalam prosiding sama, Anbalahgan juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu pada tarikh dan di tempat yang sama.

Perbuatan itu telah mendorong Kavithah menyerahkan wang berjumlah RM331,046.40 ke dalam akaun bengkel motor tersebut yang mana wang tersebut tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di MITRA, Jabatan Perdana Menteri, Aras 4 Blok D5, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 14 April 2020 dan 3 Disember 2020.

Bagi 15 pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk 15 pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam M. Yoges yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan dia telah muflis selain mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Sepanjang siasatan anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik dan tertuduh sendiri hadir ke mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran RM5,000 pada hari ini kemudian RM5,000 pada 4 Oktober dan RM10,000 pada 11 Oktober,” katanya.

Mahkamah kemudian 3 November ini bagi sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN