Pengawal keselamatan pecah masuk mahkamah dipenjara enam

Pengawal keselamatan pecah masuk mahkamah dipenjara enam bulan

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memecah masuk bangunan mahkamah dan mencuri wang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,500 hari ini, selepas mengaku bersalah memecah masuk bangunan mahkamah dan mencuri wang.

Tertuduh, P. Paul Agilan, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabilah Nizam selepas dua pertuduhan dalam bahasa Tamil dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk kafe kompleks mahkamah dan mencuri wang tunai RM150 di kaunter pembayaran.

Kesalahan dilakukan di Kompleks Mahkamah Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 12.01 tengah malam, 2 September 2023.

Tertuduh turut didakwa memecah masuk Pejabat Tanggungjawab (PTJ) Kompleks Mahkamah Melaka dan mencuri wang tunai RM800 daripada peti besi dalam laci kaunter pembayaran, antara pukul 1 hingga 2 pagi pada hari sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta denda dan mana-mana kesalahan itu jika dilakukan kali kedua atau yang kemudiannya, boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Peguam Umar Zulkarnain memohon hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap

Mahkamah menjatuhkan enam bulan penjara dan denda RM1,500 bagi pertuduhan pertama serta enam bulan penjara dan denda RM2,000 untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 September lalu dan dikenakan tambahan enam bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN