Pengawal keselamatan curi duit mahkamah beli minuman keras

Pengawal keselamatan curi duit mahkamah beli minuman keras

SUSPEK direman enam hari bermula hari setelah perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini direman enam hari bermula hari ini selepas disyaki memecah masuk pejabat dan mencuri wang mahkamah bernilai lebih RM800, Selasa lalu.

Perintah reman sehingga 13 September itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 25 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek diberkas selepas pihaknya menerima laporan dibuat oleh kerani Pejabat Tanggungjawab (PTJ) Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

Menurutnya, lelaki itu disyaki telah melarikan wang tunai berjumlah RM835 yang disimpan di dalam peti tunai di pejabat.

“Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan pecah masuk di bahagian tingkap pejabat. Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di pekarangan kompleks itu pukul 12.30 tengah hari semalam,” katanya.

Tambah Christopher, hasil soal siasat mendapati, suspek baharu dua bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di kompleks berkenaan.

“Suspek juga mengaku terlibat dalam kes itu serta melakukan pecah masuk kafe mahkamah. Wang yang dicuri digunakan untuk kegunaan sendiri termasuk membeli minuman keras.

“Suspek memecah masuk pejabat dengan menarik tingkap pejabat hingga terbuka. Ujian saringan air kencing bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN