Penahanan Sri Sanjeevan di bawah POCA sah, mahkamah benar rayuan kerajaan - Utusan Malaysia

Penahanan Sri Sanjeevan di bawah POCA sah, mahkamah benar rayuan kerajaan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan penahanan bekas aktivis antijenayah, R. Sri Sanjeevan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama 16 hari, tidak menyalahi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk S. Nantha Balan yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Datuk Azimah Omar memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pasukan polis dan Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Sri Sanjeevan ditahan secara salah selama 16 hari.

Bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu turut diperintah membayar kos RM60,000.

Sri Sanjeevan ditahan selepas polis menerima laporan daripada pelbagai pihak berhubung dakwaan lelaki itu terlibat dalam aktiviti pemerasan dan ugutan terhadap fizikal, perniagaan atau reputasi pihak tertentu bagi mendapatkan wang perlindungan.

Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Azimah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mengintepretasi elemen keganasan terancang secara terhad ketika membenarkan permohonan Sri Sanjeevan.

Panel tersebut berpendapat, hakim berkenaan terkhilaf kerana bersandarkan kepada keputusan habeas corpus terdahulu tanpa meneliti alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak polis ketika memohon perintah tahanan reman.

Ujar Hakim Azimah, panel bersidang tidak bersetuju dengan Sri Sanjeevan bahawa keganasan terancang mesti secara tegasnya membawa maksud keganasan yang membawa i kesan buruk kepada fizikal atau harta benda.

“Keganasan tidak boleh diintepretasikan secara terhad kerana ia boleh dinilai melalui kelakuan. Setakat ini tiada otoriti atau nas undang-undang yang merujuk keganasan hanya melalui fizikal atau harta benda,” ujar hakim berkenaan.

Penghakiman itu turut menyebut, ekoran laporan polis yang dibuat pelbagai pihak terhadap Sri Sanjeevan, polis percaya wujud alasan bagi menahannya untuk menyiasat modus operandi lelaki itu yang didakwa memeras ugut orang awam bagi mendapatkan wang bertujuan melindungi mereka secara fizikal atau bagi memastikan perniagaan dan reputasi tidak terjejas.

Beliau berpendapat, pengadu-pengadu didakwa hidup dalam ketakutan terhadap perlakuan Sri Sanjeevan memeras ugut mereka dan ia menjadi alasan polis mengemukakan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 4(1) POCA.

Pada hemat panel itu, hakim Mahkamah Tinggi gagal membuat penilaian bahawa polis menahan Sri Sanjeevan berdasarkan perintah yang dikeluarkan oleh majistret dan ia tidak dikategorikan sebagai tahanan salah.

Oleh kerana Sri Sanjeevan tidak memohon memplid tuntutan bagi ugutan dan serangan secara fizikal, mahkamah itu tidak seharusnya menilainya pada peringkat rayuan untuk menentukan isu berkenaan.

Panel itu selanjutnya berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mempertimbangkan keadaan tempat tahanan sebagai alasan berlakunya penderaan fizikal sebagai alasan kepada penahanan secara salah.

Dalam penghakiman itu, panel berkenaan turut berpuas hati, Sri Sanjeevan tidak boleh mengguna pakai penghakiman Mahkamah Persekutuan pada Jun 2022 secara retrospektif bagi menyokong permohonannya.

Pada hemat panel tersebut, tempoh tahanan salah selama 16 hari yang didakwa Sanjeevan, berlaku pada 2016 iaitu enam tahun sebelum Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 4 POCA tidak berperlembagaan, pada 2022.

Ujar beliau, isu berhubung retrospektif itu tidak dibangkitkan oleh kedua-dua pihak ketika sesi penghujahan pada 21 Jun lalu, mahupun oleh hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonannya.

Beliau berkata, keputusan atau pengumuman mahkamah hanya boleh menjadi nas undang-undang (precedent) terhadap kes-kes yang belum mencapai keputusan muktamad termasuk kes-kes yang masih di peringkat rayuan.

Pada hemat panel itu, keputusan Mahkamah Tinggi akan menimbulkan masalah dan kekecohan kerana ia bakal menyebabkan kebanjiran di mahkamah melibatkan permohonan tahanan reman secara salah di bawah Seksyen 4(1) POCA meskipun ketika itu peruntukan undang-undang digunakan masih berperlembagaan dan sah diguna pakai.

Ujar Hakim Azimah, adalah tidak adil untuk menyalahkan tindakan majistret mengeluarkan perintah tahanan terhadap pihak-pihak yang direman walhal tindakan itu dibuat berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, tidak cukup bagi Sri Sanjeevan untuk hanya bergantung kepada sebab-sebab teknikal semata-mata bahawa dia ditahan secara salah, sebaliknya harus membuktikan penahanan itu dibuat tanpa alasan yang munasabah.

Oleh yang demikian, panel itu berpendapat, mereka perlu campur tangan dalam rayuan berkenaan selepas mendapati wujud beberapa kekhilafan dalam keputusan hakim Mahkamah
Tinggi.

Sri Sanjeevan, 38, menyaman pegawai penyiasat Asisten Suprintendan Poonnam E. Keling, Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia serta mendakwa dia ditahan secara salah oleh Poonnam selama 16 hari antara 10 Julai 2016 dan 26 Julai 2016, selain turut diserang.

Bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu memohon ganti rugi atas kecederaan yang dialaminya.

Pada 28 Jun 2022, Datuk Ahmad Bache membenarkan saman sivil Sri Sanjeevan bagi pemenjaraan salah dan mengarahkan ganti rugi am, teladan dan teruk dibayar kepadanya, dengan ganti rugi itu dinilai dalam perbicaraan berasingan yang ditetapkan kemudian.

Mahkamah turut memutuskan bahawa penahanan Sri Sanjeevan adalah menyalahi undang-undang dan haknya di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh Poonnam.

Hakim Mahkamah Tinggi itu mendapati Poonnam bertanggungjawab kerana menahan Sri Sanjeevan secara salah dan KPN serta kerajaan bertanggungjawab secara wakil atas tindakan Poonnam.

Sri Sanjeevan ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah pada 10 Julai 2016 di bawah POCA dan dihadapkan di hadapan majistret pada hari berikutnya, yang mengeluarkan perintah reman 21 hari.

Sebelum tamat tempoh reman 21 hari, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus bagi memastikan dia dibebaskan daripada tahanan.

Dia dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 kerana melanggar prosedur mandatori di bawah POCA.

Kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi kemudiannya menarik balik rayuan itu.

Sri Sanjeevan kemudian memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan untuk pemenjaraan secara salah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN