Pemandu treler berdepan hukuman penjara 10 tahun

Nahas 14 kenderaan: Pemandu treler berdepan hukuman penjara 10 tahun kerana memandu secara berbahaya

MUHAMMAD Izzatul Shafik Mozahari dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi menghadapi pertuduhan memandu secara berbahaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 14 kenderaan minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan dua nyawa.

Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu treler jenis Foton Auman didakwa memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Faris Haziq Abu Bakar, 25 dan Yuswar Mohd. Uyus, 39, di Kilometer 5.8 Persiaran Utara di sini, pukul 10.14 pagi, 20 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 namun lelaki ituyang tidak diwakili peguam, merayu kadar berkenaan dikurangkan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aima Nabila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah melapor diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan manakala lesen memandunya digantung sehingga kes dilupuskan.

Sebutan kes ditetapkan pada 25 Oktober ini.

Menurut laporan media Khamis lalu, pemandu treler berkenaan ditahan reman selama empat hari hingga semalam bagi membantu siasatan nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12 di sini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi itu, dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori treler bermuatan pasir dan batu selain 14 mangsa lain cedera.

Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang.

Nahas membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal dan sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori.

Siasatan mendapati, nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan dan melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN