Keputusan permohonan MAIPs untuk perintah variasi didik 3 beradik mualaf 11 Oktober - Utusan Malaysia

Keputusan permohonan MAIPs untuk perintah variasi didik 3 beradik mualaf 11 Oktober

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Oktober ini bagi memutuskan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendapatkan perintah variasi untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga beradik mualaf yang kini dipelihara ibu beragama Buddha.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pelbagai pihak dalam permohonan itu serta menemubual ketiga-tiganya dalam kamar beliau.

Hakim berkenaan berkata, sesi temubual berlangsung secara berasingan selama sejam di antara 15 minit dan 30 minit dengan kehadiran jurubahasa mahkamah.

Hakim Hayatul Akmal memaklumkan, temu bual itu bagi membolehkan beliau mendapat maklum balas daripada kanak-kanak itu sendiri berhubung permohonan MAIPs untuk melaksanakan tanggungjawab memberi didikan agama kepada mereka.

Terdahulu, salah seorang peguam yang mewakili MAIPs, Aidil Khalid memaklumkan bahawa mahkamah terdahulu telah mengeluarkan perintah yang melarang pihak media menyiarkan gambar atau sebarang butiran terperinci ketiga-tiganya.

Dalam hujahnya, Aidil memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa tiga beradik itu masih beragama Islam dan walaupun dipelihara oleh ibu beragama Buddha, Loh Siew Hong, mereka masih memerlukan didikan untuk mendalami ajaran agama.

Hujah peguam, mereka masih memerlukan pendekatan secara holistik dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja tanpa panduan pihak berkuasa agama dalam keadaan hak penjagaan diberikan kepada ibu beragama Buddha.

Bagaimanapun, peguam J. Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, penukaran agama mereka tidak sah berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun mesti atas persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Terdahulu, seorang lagi peguam mewakili MAIPs, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, Siew Hong tidak mampu memberikan asas Pendidikan Agama Islam kepada ketiga-tiganya.

Selain itu, beliau berhujah, bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy juga tidak berkemampuan mendidik tiga beradik itu dengan baik kerana baru memeluk Islam, tiga tahun lalu.

Hujah Mohamed Haniff Khatri, Siew Hong mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha manakala bekas suaminya masih belum mampu membimbing anak mereka yang berusia 12 dan 15 tahun, mengenai rukun Islam.

Menurut peguam tersebut, lelaki itu memeluk Islam pada 7 Julai 2020, sama seperti anak-anaknya.

Sehubungan tu, beliau berhujah bahawa MAIPs bertanggungjawab membimbing dan mendidik ketiga-tiga kanak-kanak mualaf itu untuk mempelajari agama Islam.

Mahkamah mendengar permohonan dikemukakan MAIPs untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi panduan dan pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualaf berkenaan.

MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.

Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.

Mohamed Haniff Khatri selanjutnya berhujah, majlis itu mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut dipelihara, termasuk dari segi bantuan dibenarkan syarak, yang boleh disalurkan melalui mana-mana penjaganya yang sah.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, MAIPs memohon supaya kanak-kanak itu diberikan akses untuk mempelajari kelas fardhu ain melalui wakil MAIPs di bawah pantauan ibu mereka.

“MAIPs mohon wakil-wakilnya terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki diberi keizinan oleh mahkamah untuk menjalankan kelas fardhu ain bagi tempoh dua jam sekali, setiap dua minggu untuk anak mualaf itu.

“Ini penting kerana selagi kanak-kanak itu Islam, adalah menjadi tanggungjawab setiap saat untuk MAIPs membantu mereka mempelajari Agama Islam,” katanya.

Hujah Mohamed Haniff Khatri, ibu tunggal itu juga akan dibantu untuk mempelajari perkara halal dan haram terutama membabitkan penyediaan makanan terhadap anak-anaknya.

Sementara itu, peguam J. Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, perintah hak jagaan yang diperolehi oleh Siew Hong wajar dikekalkan sementara rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga kanaknya didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya yang mana ia turut melibatkan hak penjagaan tiga anak mereka.

Dalam petisyen perceraian itu, wanita tersebut diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berumur 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN