Ibu tunggal tarik rayuan keputusan MAIPs sebagai pencelah - Utusan Malaysia

Ibu tunggal tarik rayuan keputusan MAIPs sebagai pencelah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu tunggal, Loh Siew Hong menarik balik rayuannya berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi pencelah dalam petisyen perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Peguam ibu tunggal tersebut, J. Gunamalar mengesahkan pihaknya telah memfailkan notis pemberhentian tersebut hari ini.

Berdasarkan notis tersebut, pihak-pihak bersetuju untuk menarik balik rayuan tersebut tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Seorang lagi peguam yang mewakili wanita itu, A. Srimurugan turut mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media hari ini.

“Mahkamah Rayuan telah menetapkan 19 Oktober ini untuk rayuan Loh Siew Hong berhubung isu penukaran agama anak-anaknya. Sekiranya rayuan tersebut dibenarkan, permohonan-permohonan lain akan menjadi isu bertindan.

“Fokus kami sekarang adalah terhadap rayuan berkaitan dengan penukaran agama tersebut,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan MAIPs pencelah dalam petisyen perceraian Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran yang sebelum ini menukar agama tiga anak mereka tanpa persetujuan wanita terbabit.

Mahkamah Rayuan ketika itu memutuskan bahawa badan agama itu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menjadi pencelah dalam petisyen terbabit.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Muhammad Nagahswaran yang memeluk agama Islam telah menukar agama tiga anak mereka secara unilateral (sebelah pihak) pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Berhubung isu penukaran agama, pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan tiga anak pasangan itu kekal beragama Islam.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati ketiga-tiga anak Siew Hong yang terdiri daripada pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka.

Wanita terbabit memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya agar tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.

Wanita itu mempertikai pengislaman anak-anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya, M. Nagahswaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy secara sebelah pihak dan tindakan lelaki itu mendaftarkan anak-anak mereka sebagai muslim tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

Keputusan itu dibuat dalam permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya sekaligus memohon membatalkan pengislaman tersebut.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis; MAIPs; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN